Kalimah Allah: Pertembungan MP Zul-Khalid berterusan

0 ulasan
 

Pertembungan pendirian kedua-dua ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dari PKR dan Shah Alam PAS menerusi tulisan blog masing-masing berhubung polemik penggunaan kalimah “Allah” berterusan.


Ketika Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin sekali lagi mendesak Khalid meletakkan jawatan beliau dan keluar PAS, rakan sejawatannya dari PAS itu pula tidak menyerang wakil rakyat PKR secara langsung tetapi terus mempertahankan pendirian beliau.


“Saya telah mengemukakan bukti dan fakta bagaimana tindak-tanduk YB Khalid bercanggah dengan arus perjuangan PAS.


“Malah sikap beliau adakalanya memalukan PAS dan kepimpinannya sendiri.


“Sebab itu saya sekali lagi menyeru YB Khalid supaya menimbang untuk keluar daripada PAS kerana saya berpendapat sikap dan tindak-tanduk beliau akan menghakis kepercayaan dan keyakinan umat Islam kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS,” kata Zulkifli dalam tulisan blognya.


Malah kata Zulkifli, beliau berpendapat sikap dan tindak-tanduk Khalid lebih sesuai untuk beliau duduk bersama dengan DAP.


“Tetapi itu hak beliau untuk memikirkannya,” katanya.


Dalam tulisannya Sabtu lalu, Zulkifli meminta Khalid meletakkan jawatan kerana berpendirian seolah-olah menyokong penggunaan perkataan “Allah”.


Zulkifli meminta Khalid menyertai DAP dengan keluar PAS.


Khalid pula membalas dengan mengatakan Zulkifli tiada “locus standi” untuk bercakap mengenai dasar PAS dan beliau beliau selaku pemimpin PAS.


Oleh itu Khalid mendesak Zulkifli keluar PKR dan menyertai PAS.


Kali ini, Khalid dalam tulisannya berkata sebenarnya isu semasa ini merupakan sesuatu yang menguntungkan umat Islam.


“Ia mampu menjelaskan kepercayaan tauhid yang dibawa Islam di kalangan umat Islam dan bukan Islam. Sambil itu ia membuka pintu dakwah kepada golongan bukan Islam, khususnya golongan ahli kitab,” katanya Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.


Namun tegas Khalid ia a sengaja dikelirukan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik mereka dan untuk mencari titik perbalahan menakutkan ummat Islam dan mengelirukan umat Islam dengan lebih lagi.


“Melalui kekeliruan ini mereka akan terus berkuasa, kerana rakyat yang keliru mudah ditipu dan dikuasai,” katanya.


Katanya, adalah jelas masalah kalimah Allah yang ingin digunakan oleh bukan Islam adalah masalah yang diada-adakan.


“Yang membezakan Islam dan bukan Islam adalah konsep tauhid dan keRasulan Nabi Muhammad (SAW) bukan kalimah Allah.


“Ini sebenarnya perkara asas dan wajib difahami oleh semua ummat Islam.


“Dengan kefahaman ini mereka mampu menangkis segala usaha untuk mengelirukan mereka (sekiranya ada) dengan penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam,” katanya.


Beliau menambah tanpa kefahaman ini, hakikatnya mereka sudah pun berada dalam kekeliruan walaupun tiada pihak lain yang menggunakan kalimah “Allah”.


“Dari sudut dakwah Islamiah, sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah maka ia memudahkan kita berdakwah kepada mereka,” katanya.



Malam tadi, PAS mengambil pendirian “terbuka” dalam isu kontroversi terbaru dengan menegaskan penggunaan perkataan “Allah” dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.



Bagaimanapun parti itu menegaskan penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.


“PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.


“Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al Imran ayat 64,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan dikeluarkan tengah malam tadi.

Readmore...

Sosilawati mengaku nikah di Songkhla tapi belum didaftar

0 ulasan
 
PETALING JAYA, Jan 4 — Usahawan kosmetik terkemuka Datuk Sosilawati Lawiya mengaku beliau telah bernikah dengan suami barunya di selatan Thailand, 25 Nov lalu.


Bagaimanapun Sosilawati berkata pernikahan tersebut belum didaftarkan di mana-mana pejabat agama di negara ini bagi membolehkan status mereka sah diperakui di bawah undang-undang negara ini.


Beliau juga menafikan laporan akhbar bahawa telah dipanggil untuk berada di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menunjukkan surat nikah hari ini.


“Hari ini saya tak ke Jais sebab tiada apa-apa pemberitahuan yang meminta saya pergi Jais.


“Kalau saya dipanggil saya akan pergi,” katanya lagi.


Sosilawati menjelaskan pihaknya tidak berbuat demikian sehingga kini atas alasan mahu menjaga perasaan anak-anak serta pelbagai pihak.


“Kak Wati sudah bernikah di Songkhla pada 25 Nov lalu tapi masih belum daftarkan pernikahan kami di sini... sebab mahu jaga perasaan anak-anak saya serta pelbagai pihak.


“Sebab anak-anak ini tidak dapat terima lagi pernikahan saya dan suami saya dalam waktu ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.


Sosilawati yang masih melalui majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan RM1.38 juta dengan bekas suaminya, Nash, penyanyi kumpulan rock Lefthanded, di Mahkamah Tinggi Syariah didakwa telah ditangkap berkhalwat tengah malam Jumaat lalu.


Serbuan dilakukan di Astana Damansara Kondominium di sini ekoran aduan masyarakat sekeliling.


Serbuan khalwat tersebut difahamkan dibuat kira-kira 12.30 tengah malam.


Sosilawati dan Nash yang mendirikan rumah tangga pada 16 Nov 2006 telah bercerai pada Mei lalu.


Ketika ditanya mengenai dakwaan penangkapan khalwat oleh Jais, Sosilawati menafikan pertuduhan itu kerana lelaki yang disyaki 'berkhalwat' dengannya adalah suami beliau.


Laporan akhbar hari ini pula menyebut Jais telah mengarahkan Sosilawati agar hadir ke pejabat Jais di Shah Alam untuk mengemukakan surat nikah.


Laporan itu yang memetik Pegawai Perhubungan Awam Jais Mohd Hidayat Abd Rani berkata arahan berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan jabatannya membuat siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.


Mohd Hidayat berkata arahan berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan Jais membuat siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.


Sekiranya benar pasangan itu bernikah, mereka akan dibebaskan. Namun masih didenda mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003 atas kesalahan tidak mendaftarkan perkahwinan selepas bernikah di luar negara yang sabit kesalahan akan didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.


Peguam yang mewakili Sosilawati dalam kes ini, Datuk Ahmad Zaidi Mohd. Zin ketika dihubungi memberitahu laporan tersebut tidak benar sama sekali.


Sehingga kini, anak guamnya hanya perlu menghadiri sesi bimbingan dan kauseling, bukannya diarahkan hadir membawa surat nikah.


“Ini kerana tiada sebarang notis dikeluarkan oleh Jais berhubung dakwaan itu,” kata beliau.


Sosilawati turut menegaskan supaya isu ini tidak perlu digembar-gemburkan tanpa sebarang bukti kukuh kerana bimbang ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

Readmore...