Khalid Samad dakwa pertemuan sulit mahu jatuhkan MB Selangor

0 ulasan
 
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa pihak-pihak tertentu telah mengadakan pertemuan tertutup membabitkan agensi-agensi agama dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGO) untuk menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Langkah itu didakwa diusahakan ekoran kes serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) dekat Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu ekoran kononnya ada usaha memurtadkan umat Islam.

Khalid, yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Shah Alam berkata, pertemuan membabitkan beberapa NGO Islam bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta wakil dari Pejabat Peguam Negara.

“Mereka membincangkan memorandum untuk dihantar kepada Sultan Selangor, menyerang Menteri Besar berhubung isu Kristianisasi ini. Nampak-nampak gaya satu usaha bersungguh-sungguh ingin menjatuhkan Menteri Besar. Adalah diharapkan tiada Exco dari Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi dari PAS, yang turut serta,” kata beliau dalam entro blognya semalam di bawah tajuk “Coret Minggu Pertama Syawal”.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, Khalid berkata beliau tidak pasti bila pertemuan itu diadakan tetapi telah diadakan bulan lalu.

Kata Khalid, sebelum era Mac 2008, semuan pihak termasuk Jais dan Mais mengambil sikap berdiam diri dengan cara pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Tetapi di zaman Menteri Besar yang berkebajikan (pimpinan Khalid Ibrahim), bersih dari rasuah dan mementingkan rakyat, apa saja alasan boleh digunakan untuk menempelak Menteri Besar.

“Adalah dikhuatiri akan ada yang mula bertanya, “mengapa dulu diam, sekarang nak bising?” Seterusnya nanti ada pula yang akan menganggap dulu dapat bahagian! Sekarang habuk pun tiada, maka itulah sebabnya bikin kecoh,” katanya.

Dalam entrinya juga, Khalid berkata, Umno terus mengheret pihak istana untuk kepentingan politik parti komponen BN itu.

Katanya, ketika zaman BN memerintah Selangor, jarang sekali kedengaran berita Sultan Selangor kecuali berhubung program adat istiadat tetapi sekarang kerap diketengahkan.

“Itulah perangai Umno. Bila Umno sudah tidak laku, mereka ketengahkan Sultan sedangkan dulu mereka sendiri yang mencaci Sultan.

“Yang paling saya khuatir ialah tercemarnya imej pihak Istana dan DYMM Sultan Selangor sekiranya terus diheret sedemikian rupa oleh juak-juak Umno-BN,” katanya sambil menambah, institusi yang above politics’ atau ‘mengatasi pertimbangan politik’ ini akan tercemar dalam kelicikan politik Umno yang hanya ingin terus berkuasa walau apa sekalipun berlaku.

“Sanggup mengorbankan rakyat dan negara asalkan mereka kembali memerintah Selangor. Itulah dasar (bekas pemimpin Libya) Muammar Gaddafi, dan itulah yang mencerminkan dasar Umno sekarang!” kata Khalid lagi.

Mengenai isu tindakan Jais ke atas gereja tersebut, Khalid berkata, beliau sangat kecewa apabila mendengar Jais memohon sebulan lagi untuk menyediakan laporan.

“Ini akan pasti memberikan gambaran negatif terhadap profesionalisme Jais yang bertindak dengan begitu cepat ‘memeriksa’ sebuah Gereja tetapi begitu lambat dalam mengeluarkan laporan mengenainya.

“Saya difahamkan bahawa pihak DUMC telah bertemu dengan rombongan PAS dan secara umumnya menyatakan mereka tidak ada kena-mengena dengan majlis malam tersebut,” katanya ia adalah majlis NGO yang memohon jasa baik mereka untuk membenarkan mereka menggunakan dewan milik gereja dan itu sahaja.

“Laporan ‘memurtadkan orang Islam’ diterima dari pihak yang tidak dikenali dan pihak Jais bertindak tanpa siasatan yang lebih terperinci. Pihak yang tidak dikenali’ yang melaporkannya mungkin berniat jahat dari awal?” katanya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor berkata laporan lengkap daripada Jais akan diterima selepas beliau pulang ke tanah air dari lawatan kerja ke Jerman pada 16 September ini.

“Kami masih lagi menunggu laporan lengkap Jais itu dan saya tidak sabar untuk mengetahuinya, Sekembalinya dari Jerman kita jangka akan menerima laporan tersebut,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Readmore...