Desakan keluar Pakatan seperti usaha kudeta di Perak – PJ Perak

0 ulasan
 
KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain tidak menolak kemungkinan demontrasi 21 pemuda mendesak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat di Selangor merupakan suatu usaha menjatuhkan kerajaan negeri itu.

“Saya tak tolak kemungkinan ia suatu usaha mereka (Umno) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, seperti kudita yang mereka buat di Perak,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily tengahari tadi.

“Semacam di Perak, mereka (Umno) cuba adakan pelbagai helah dan demonstrasi, modul ini yang kita lihat di Perak sejak Umno tak perintah kerajaan negeri itu lagi,” katanya.

Selain menyamakan demontrasi tersebut dengan demonstrasi mengarak kepala lembu September lalu, beliau mengganggap demonstrasi tersebut dilakukan oleh segelintir yang kecewa melihat PAS bersama-sama Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak 8 Mac tahun lalu.

“Sama seperti demonstrasi kepala lembu berdarah sebelum ini, perhimpunan ini mungkin didalangi mereka yang kecewa apabila Umno (dan) BN gagal menguasai (kerajaan negeri) Selangor,” jelasnya.

Sekiranya anggapan tersebut benar, beliau menasihatkan kepemimpinan PAS negeri serta Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak cepat melatah dengan aksi-aksi pemuda terbabit.

“Saya lihat PAS dan Pakatan sepatutnya tidak mudah melatah dengan permainan mereka (Umno) ini yang sengaja mencari isu (dan) jalan (tektik) walaupun tidak bermoral asalkan boleh boleh rampas Selangor seperti mereka kudeta Perak,” jelasnya.

“Keduanya, PAS dan Pakatan Rakyat sepatutnya lebih usaha mengeratkan persefahaman, semacam yang dituntut dalam Konvensyen (Pakatan Rakyat) baru-baru ini,” tambahnya.

Semalam, lebih 21 pemuda melancarkan demonstrasi kerana mengganggap PKR dan DAP mengetepikan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat ketika mentadbir negeri itu.

Mereka yang diketuai Wan Hilman Abdul Halim dilaporkan mahu menyerah memorandum kepada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Mohd Hassan pagi tadi, namun gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya mengarahkan Badan Perhubungan PAS Selangor supaya menyiasat dalang di sebalik perhimpunan misteri tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menegaskan bahawa mereka yang terbabit sebenarnya tidak mewakili PAS negeri itu.
Readmore...