Era Najib Altantuya: Pintu rundingan Pas-UMNO tertutup rapat

0 ulasan
 

KOTA BHARU 8 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan pintu rundingan di antara Pas dan UMNO mengenai masa depan Islam dan ummah di negara ini sudah tertutup rapat.


Beliau berkata, soal itu telah berlalu dan tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sudah tidak ada lagi apa-apa perkara yang hendak dirundingkan.


Menteri Besar itu sebaliknya berkata, pihaknya bersedia mengadakan rundingan jika ia berkaitan isu pemberian royalti minyak kepada kerajaan Pas Kelantan.


"Rundingan buat apa, ini cerita lama, nak berunding apa lagi. Tak perlu runding apa, kalau runding beri royalti saya setujulah.


"Itu memang hak Kelantan cuma nak tentu bila ahli Parlimen kita pergi Kuala Lumpur bolehlah runding," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini hari ini.


Nik Abdul Aziz diminta menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengulangi kesanggupan berunding dengan Pas semata-mata untuk melihat nasib umat Islam negara ini terus dibela dan dipertingkatkan.


Najib dilaporkan sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan Islam tetapi tidak rela UMNO dihina oleh sesiapa sahaja.


Nik Abdul Aziz bagaimanapun tetap dengan pendirian beliau bahawa dasar kebangsaan yang digunakan dalam pentadbiran Kerajaan Pusat perlu diganti dengan dasar Islam seperti yang diterapkan oleh parti Pas di Kelantan.


"Kalau nak jaga Islam lebih baik tukar dasar daripada kebangsaan kepada dasar Islam barulah nampak ikhlas.


"Kelantan sudah hidup 20 tahun di bawah dasar Islam. Kami tukar pemikiran rakyat daripada pak turut Eropah kepada pak turut nabi," tegasnya.


Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz tetap bersyukur dengan peruntukan RM8.9 juta yang diumumkan Perdana Menteri untuk membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.


Beliau berkata, adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk membantu Kelantan yang menjadi salah sebuah negeri di Malaysia.


"Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang memberi peruntukan dan telah menolong Kelantan dalam pelbagai bidang kerana itu adalah konsep federalisme.


"Kelantan walaupun di bawah Pas tak terlepas daripada Malaysia, jadi segala hasil dibahagikan ke seluruh negeri termasuk Kelantan," katanya.

Readmore...