Perhimpunan Rakyat di Stadium Kelana Jaya petang tadi menjadi medan pemimpin dan rakyat melahirkan simpati dan marah terhadap Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) ekoran kematian tragis Teoh Beng Hock.
Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 10,000 orang, kebanyakannya warga muda begitu bersemangat menuntut keadilan atas kematian Teoh. Mereka menjerit-jerit: “Keadilan untuk Beng Hock! Keadilan untuk Beng Hock!”
YB William dalam ucapannya menegaskan bahawa kita tidak boleh mempercayai polis, hakim dan SPRM. Kita hanya boleh mempercayai rakyat.
Dr. Jeyakumar dengan tegas menuduh SPRM alat BN. Oleh itu segala siasatan SPRM yang dipenuhi tipu helah dihentikan segera.
Husam Musa pula minta Ketua SPRM meletak jawatan sebagai tanggungjawab atas kematian Teoh. Beliau menganggap Teoh sebagai wira keadilan.
Maria Chin Abdullah dari NGO Sister in Islam, turut menuduh SPRM sebagai alat Kerajaan BN. SPRM mengamalkan ‘double standard’ dalam siasatan. Satu untuk BN dan satu lagi untuk Pakatan Rakyat.
Lim Kit Siang minta Menteri yang tidak bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja sila berundur daripada Kabinet. Ucapan beliau dipersetujui oleh para hadirin. Lim menambah, sekiranya SPRM serius membanteras rasuah, Kabinet Datuk Seri Najib Razak akan kosong. Lim turut menyamakan kes Teoh dengan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Teng mengisahkan bagaimana beliau menghalau seekor Toyol keluar dari dewan. Ucapan beliau disambut ketawa berdekah-dekah para hadirin. Teng mengatakan Najib paling suwei kerana Altantuya dibunuh dan sekarang giliran Teoh pula.
Ucapan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang paling mengejutkan. Para hadiran terlopong dan terpegun seketika. Lim dengan tegas dan berani berkata: “Teoh Beng Hock telah ditolak dari bangunan SPRM!”
Satu tabung khas akan ditubuhkan untuk membantu anak Teoh yang bakal lahir. Selain itu, Lim yang pernah dipenjarakan kerana ‘membela maruah seorang gadis’ yang dianiaya, menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan serta merta. Seluruh Malaysia telah hilang keyakinan terhadap KPN.
Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, memberitahu bahawa isu Teoh bukan isu politik, tetapi isu keadilan. Oleh itu Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan. Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada polis dan SPRM. Hanya Suruhanjaya Diraja yang mungkin mampu mengembalikan keadilan dan keyakinan rakyat.
Perhimpunan Rakyat lebih tepat dikatakan perhimpunan menuntut keadilan membidas kerajaan BN yang dikatakan tidak telus dan dauble standard. Begitu banyak perasaan tidak puas hati, kegusaran dan kemarahan dilontarkan di hadapan 10,000 warga Malaysia. Selain pemimpin politik dan wakil NGO, rakan-rakan Teoh yang sedih turut serta melontarkan ikrar dan sumpah akan menuntut keadilan untuk Teoh sehingga ke nafas terakhir.