Arak: Umno lebih berdosa banding Zaid

0 ulasan
 
Umno, yang menerajui kerajaan pusat yang memberi kelulusan kilang arak lebih banyak berdosa berbanding calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim yang sudah mengakui telah bertaubat atas perbuatannya mengambil alkohol, tegas PAS hari ini.
Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata, Umno-BN seharusnya tidak menggunakan isu minum arak sebagai bahan kempen pilihan raya kerana beberapa perdana menteri sebelum ini juga pernah minum arak.
“Saya pernah berada dalam kerajaan, saya tahu,” kata beliau yang bersama kerajaan persekutuan antara 1974 dan 1978.
“Seorang perdana menteri kecuali iaitu Tun Abdullah Badawi (yang bersara tahun lalu),” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.
Malah menurut Mustafa, pemimpin-pemimpin Umno tidak pernah terlepas daripada budaya rasuah, seks, arak atau judi.
“Mereka terlibat dalam salah satu masalah, sekurang-kurangnya satu masalah ini sama ada rasuah, perempuan, arak atau judi,” katanya.
Mengenai dosa berterusan dalam soal arak ini, Mustafa berkata, soal minum arak membabitkan Zaid, bekas Ahli Parlimen Kota Baru hanya bersifat peribadi.
“Soal Zaid minum arak adalah soal peribadi, beliau bertaubat dan menyesal, minta maaf... itu antara dia dan Tuhan.
“Tetapi kerajaan Umno-BN ini meluluskan permit operasi, keluar dan jual, masih ada lagi... ini dosa yang berterusan, lebih teruk berbanding dengan dosa Zaid,” katanya.
Oleh itu kata beliau, Umno-BN membuat kesilapan besar kerana terlalu ghairah menggunakan isu arah Zaid sedangkan mereka lupa “dosa mereka di mana arak dibuat, dijual dan dihidang... dosa yang lebih besar.”
Mustafa berkata, PAS tidak akan menggunakan isu minum ini sebagai modal kempen sehingga boleh menjatuhkan maruah seseorang.
“Kita tak main isu ini, kalau ada pun isu rasuah sahaja... pemimpin-pemimpin Umno jangan ‘overboard’, jangan sembarangan serang calon,” katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada penyokong PAS tidak akan mengundi calon Pakatan Rakyat ini, Mustapa berkata, penyokong-penyokong akan mematuhi keputusan parti dan sokongan mereka tidak akan terjejas.
“Kitab tahu siapa Zaid, orang Melayu pun tahu... undi PAS tidak terjejas sebagai orang PAS tahu antara soal Islam dan peribadi,” kata Mustafa sambil berulang Zaid sudah pun memohon maaf atas kesilapannya.
Daripada 65,000 pengundi yang layak mengundi kali ini kira-kira 8,000 merupakan penyokong tegar PAS.
Beliau juga tahu bahawa ada pemimpin Umno yang minum arak dan pernah melihat melihat mengambil arak.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan nama mereka.
Mustafa berkata, Umno-BN akan menggunakan apa sahaja untuk membunuh karektor seseorang calon.
“Umno akan menggunakan apa sahaja isu, isu-isu yang tiada kelas... isu yang paling tiada kelas,” kata beliau dengan merujuk kepada tindakan Umno-BN menggunakan isu minum arak membabitkan calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.
Dua pemimpin kanan Pakatan Rakyat iaitu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, yang juga Pengerusi PKR Selangor, memberitahu bahawa Zaid sudah berubah selepas kembali dari Mekah.
Readmore...

Zaid yakin menang undi Melayu

0 ulasan
 
Disebalik imej 'liberal' yang sering dikaitkan padanya, calon PKR bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim yakin dapat memenangi hati pengundi di kawasan parlimen tersebut, termasuk masyarakat Melayu.

Katanya, walaupun terdapat tinjauan bahawa orang Melayu selesa dengan pendekatan seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) - yang lantang bersuara dalam isu-isu Melayu - beliau "tidak akan menggadaikan prinsip demi populariti".

"Apa pun (keputusan) tinjauan, saya yakin, saya faham orang Melayu, saya faham orang Islam. Dan saya akan buktikan pada (hari pengundian) 25 haribulan (April) ini," kata Zaid.

Sebuah badan peninjau bebas Merdeka Centre sebelum ini pernah mengadakan tinjauan tentang penerimaan orang Melayu terhadap pendekatan PERKASA, di mana dapatannya menunjukkan mendapati lebih separuh daripada mereka menyokongnya.

Zaid pula yang terkenal sebegai 'gergasi firma guaman' di Malaysia dilihat pelbagai pihak sebagai lebih 'liberal', 'urban' dan kononnya tidak cocok dengan imej Melayu tradisional.

Ketika diwawancaraMalaysiakini di kediaman mewahnya di Petaling Jaya semalam, Zaid menolak keras label itu dan menyifatkannya sebagai hanya "propaganda".

"Liberal itu ertinya apa? Itu Umno punya propaganda," katanya sambil mendakwa perkataan yang digunakan itu mempunya konotasi negatif.

"Apa yang liberal sangat, yang ditakuti sangat itu? Hak rakyat tak kira bangsa kita kena bela."

Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau yakin cukup faham dengan masalah orang Melayu di Hulu Selangor.

"Saya lebih faham masalah FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) daripada orang BN. Kalau orang BN faham pun dia takut hendak bersuara. Itu bezanya," katanya.
Readmore...

Bilik gerakan lesu: Samy temui pemimpin akar umbi

0 ulasan
 
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan calon BN P Kamalanathan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbinya daripada seluruh 75 cawangan parti itu di Hulu Selangor petang ini bagi "memulihkan motivasi dan semangat berkempen" mereka.

Seorang pemimpin MIC cawangan memberitahu Malaysiakini, pertemuan tersebut akan diadakan pada jam 5 petang ini di bilik gerakan MIC di Kuala Kubu Bharu.

"Apabila pemimpin-pemimpin ini berjumpa dengan Kamalanathan dan Samy, dan mendapat penjelasan mereka, mereka (pemimpin akar umbi) akan lebih bermotivasi, lebih semangat untuk kempen," kata ketua cawangan MIC Taman Juta KD Raj (kiri).

Beliau diminta mengulas tahap kesediaan jentera MIC yang mungkin berdepan dengan 'keretakan' ekoran pemilihan Kamalanathan sebagai 'calon kompromi' dengan mengenetepikan dua lagi pemimpinnya - timbalan presiden G Palanivel dan ketua Pemuda bahagian, V Mugilan.

Raj berkata, majoriti pemimpin akar umbi MIC sedang menunggu Samy memperkenalkan calon pilihan BN kepada mereka petang ini.

TinjauanMalaysiakini tengah hari ini juga mendapati, bilik gerakan MIC masih lengang dan tidak aktif. Hanya kelihatan kira-kira sepuluh orang petugas parti sahaja ketika kunjungan tersebut kira-kira jam 12.30 tadi.

Raj juga mengakui, semenjak dua hari lepas, aktiviti bilik gerakan parti itu dan kunjungan daripada rumah ke rumah masih perlahan.

Mengaku berkempen untuk Palanivel sebelum ini, Raj juga mendakwa Mugilan "bertindak seorang diri" dan cuba menonjolkan dirinya mendapat sokongan daripada sayap Pemuda parti itu.

Sementara itu, bendahari MIC Hulu Selangor D Arumugam (kiri) juga mendakwa 'kelembapan jenteranya' sebelum ini ekoran tindak tanduk Mugilan yang didakwanya berkempen supaya dipilih menjadi calon.

Bagaimanapun, tambah Arumugam, mereka kini telah menerima Kamalanathan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.

Menjelang pengumuman itu, sehari sebelum itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin adalah antara pemimpin penting Umno yang dilaporkan berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, masyarakat di kawasan itu mahukan calon daripada golongan muda MIC.

Kenyataan tersebut dilihat seakan-akan memberikan isyarat sokongan kepada Mugilan.
Readmore...