Kalimah Allah: Pertembungan MP Zul-Khalid berterusan

0 ulasan
 

Pertembungan pendirian kedua-dua ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dari PKR dan Shah Alam PAS menerusi tulisan blog masing-masing berhubung polemik penggunaan kalimah “Allah” berterusan.


Ketika Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin sekali lagi mendesak Khalid meletakkan jawatan beliau dan keluar PAS, rakan sejawatannya dari PAS itu pula tidak menyerang wakil rakyat PKR secara langsung tetapi terus mempertahankan pendirian beliau.


“Saya telah mengemukakan bukti dan fakta bagaimana tindak-tanduk YB Khalid bercanggah dengan arus perjuangan PAS.


“Malah sikap beliau adakalanya memalukan PAS dan kepimpinannya sendiri.


“Sebab itu saya sekali lagi menyeru YB Khalid supaya menimbang untuk keluar daripada PAS kerana saya berpendapat sikap dan tindak-tanduk beliau akan menghakis kepercayaan dan keyakinan umat Islam kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS,” kata Zulkifli dalam tulisan blognya.


Malah kata Zulkifli, beliau berpendapat sikap dan tindak-tanduk Khalid lebih sesuai untuk beliau duduk bersama dengan DAP.


“Tetapi itu hak beliau untuk memikirkannya,” katanya.


Dalam tulisannya Sabtu lalu, Zulkifli meminta Khalid meletakkan jawatan kerana berpendirian seolah-olah menyokong penggunaan perkataan “Allah”.


Zulkifli meminta Khalid menyertai DAP dengan keluar PAS.


Khalid pula membalas dengan mengatakan Zulkifli tiada “locus standi” untuk bercakap mengenai dasar PAS dan beliau beliau selaku pemimpin PAS.


Oleh itu Khalid mendesak Zulkifli keluar PKR dan menyertai PAS.


Kali ini, Khalid dalam tulisannya berkata sebenarnya isu semasa ini merupakan sesuatu yang menguntungkan umat Islam.


“Ia mampu menjelaskan kepercayaan tauhid yang dibawa Islam di kalangan umat Islam dan bukan Islam. Sambil itu ia membuka pintu dakwah kepada golongan bukan Islam, khususnya golongan ahli kitab,” katanya Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.


Namun tegas Khalid ia a sengaja dikelirukan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik mereka dan untuk mencari titik perbalahan menakutkan ummat Islam dan mengelirukan umat Islam dengan lebih lagi.


“Melalui kekeliruan ini mereka akan terus berkuasa, kerana rakyat yang keliru mudah ditipu dan dikuasai,” katanya.


Katanya, adalah jelas masalah kalimah Allah yang ingin digunakan oleh bukan Islam adalah masalah yang diada-adakan.


“Yang membezakan Islam dan bukan Islam adalah konsep tauhid dan keRasulan Nabi Muhammad (SAW) bukan kalimah Allah.


“Ini sebenarnya perkara asas dan wajib difahami oleh semua ummat Islam.


“Dengan kefahaman ini mereka mampu menangkis segala usaha untuk mengelirukan mereka (sekiranya ada) dengan penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam,” katanya.


Beliau menambah tanpa kefahaman ini, hakikatnya mereka sudah pun berada dalam kekeliruan walaupun tiada pihak lain yang menggunakan kalimah “Allah”.


“Dari sudut dakwah Islamiah, sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah maka ia memudahkan kita berdakwah kepada mereka,” katanya.



Malam tadi, PAS mengambil pendirian “terbuka” dalam isu kontroversi terbaru dengan menegaskan penggunaan perkataan “Allah” dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.



Bagaimanapun parti itu menegaskan penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.


“PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.


“Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al Imran ayat 64,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan dikeluarkan tengah malam tadi.

Readmore...

Sosilawati mengaku nikah di Songkhla tapi belum didaftar

0 ulasan
 
PETALING JAYA, Jan 4 — Usahawan kosmetik terkemuka Datuk Sosilawati Lawiya mengaku beliau telah bernikah dengan suami barunya di selatan Thailand, 25 Nov lalu.


Bagaimanapun Sosilawati berkata pernikahan tersebut belum didaftarkan di mana-mana pejabat agama di negara ini bagi membolehkan status mereka sah diperakui di bawah undang-undang negara ini.


Beliau juga menafikan laporan akhbar bahawa telah dipanggil untuk berada di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menunjukkan surat nikah hari ini.


“Hari ini saya tak ke Jais sebab tiada apa-apa pemberitahuan yang meminta saya pergi Jais.


“Kalau saya dipanggil saya akan pergi,” katanya lagi.


Sosilawati menjelaskan pihaknya tidak berbuat demikian sehingga kini atas alasan mahu menjaga perasaan anak-anak serta pelbagai pihak.


“Kak Wati sudah bernikah di Songkhla pada 25 Nov lalu tapi masih belum daftarkan pernikahan kami di sini... sebab mahu jaga perasaan anak-anak saya serta pelbagai pihak.


“Sebab anak-anak ini tidak dapat terima lagi pernikahan saya dan suami saya dalam waktu ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.


Sosilawati yang masih melalui majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan RM1.38 juta dengan bekas suaminya, Nash, penyanyi kumpulan rock Lefthanded, di Mahkamah Tinggi Syariah didakwa telah ditangkap berkhalwat tengah malam Jumaat lalu.


Serbuan dilakukan di Astana Damansara Kondominium di sini ekoran aduan masyarakat sekeliling.


Serbuan khalwat tersebut difahamkan dibuat kira-kira 12.30 tengah malam.


Sosilawati dan Nash yang mendirikan rumah tangga pada 16 Nov 2006 telah bercerai pada Mei lalu.


Ketika ditanya mengenai dakwaan penangkapan khalwat oleh Jais, Sosilawati menafikan pertuduhan itu kerana lelaki yang disyaki 'berkhalwat' dengannya adalah suami beliau.


Laporan akhbar hari ini pula menyebut Jais telah mengarahkan Sosilawati agar hadir ke pejabat Jais di Shah Alam untuk mengemukakan surat nikah.


Laporan itu yang memetik Pegawai Perhubungan Awam Jais Mohd Hidayat Abd Rani berkata arahan berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan jabatannya membuat siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.


Mohd Hidayat berkata arahan berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan Jais membuat siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.


Sekiranya benar pasangan itu bernikah, mereka akan dibebaskan. Namun masih didenda mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003 atas kesalahan tidak mendaftarkan perkahwinan selepas bernikah di luar negara yang sabit kesalahan akan didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.


Peguam yang mewakili Sosilawati dalam kes ini, Datuk Ahmad Zaidi Mohd. Zin ketika dihubungi memberitahu laporan tersebut tidak benar sama sekali.


Sehingga kini, anak guamnya hanya perlu menghadiri sesi bimbingan dan kauseling, bukannya diarahkan hadir membawa surat nikah.


“Ini kerana tiada sebarang notis dikeluarkan oleh Jais berhubung dakwaan itu,” kata beliau.


Sosilawati turut menegaskan supaya isu ini tidak perlu digembar-gemburkan tanpa sebarang bukti kukuh kerana bimbang ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

Readmore...

Tengku Temenggong kecewa titah Sultan Kelantan diingkar

9 ulasan
 

KOTA BARU, Jan 4 — Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra kecewa apabila beberapa pegawai kanan kerajaan tidak menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, Singapura walaupun dititahkan baginda supaya berbuat demikian.



Berikutan itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata, Sultan Kelantan tidak dapat menyampaikan titah supaya keanggotan dalam Majlis Perajaan Negeri (MPN) dikembalikan kepada senarai asal dan titah penarikan balik darjah kebesaran terhadap tujuh individu.



Menurutnya, disebabkan pegawai kanan terbabit tidak menghadap Sultan maka beliau sebagai anakanda telah pergi sendiri menemui baginda untuk menerima titah tersebut.



“Pegawai kanan kerajaan negeri telah dipanggil menghadap, Setiausaha Sulit pun belum hadir atau tidak dibenarkan hadir, saya pun tidak tahu.



“Sebagai anakanda ketiga baginda, apabila Tuanku sampaikan titah (arahan), saya mesti melaksanakannya.



"Titah baginda mengenai pemecatan ahli MPN dan penarikan balik darjah kebesaran itu terkandung dalam surat ini,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia, yang disiarkan hari ini.



Tengku Muhammad Fakhry berkata, surat tersebut mempunyai cap jari Sultan Kelantan serta tandatangan dua saksi, seorang pensyarah di Universiti Darul Iman dan doktor yang merawat baginda.



“Itu (pemecatan dan penarikan balik darjah kebesaran) satu titah daripada Tuanku, kita harus laksanakan dan kalau pihak tertentu tidak percayakan surat ini, sila menghadap Tuanku sendiri.



"Saya ingin tegaskan, Alhamdulillah, Tuanku makin sembuh,” katanya.



Pada masa yang sama, Tengku Muhammad Fakhry menafikan berlaku pergolakan di Istana Kelantan sehingga menyebabkan ayahandanya mengeluarkan titah memecat beberapa pegawai tertinggi istana dan menarik balik darjah kebesaran terhadap individu-individu tertentu.



Beliau berkata, baginda sendiri telah mengeluarkan titah untuk memecat beberapa nama dalam MPN namun sebab pemecatan itu hanya diketahui oleh baginda.



Tengku Muhammad Fakhry atas kapasitinya sebagai Tengku Temenggong semalam mengedarkan termasuk kepada pihak media surat bertajuk “Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan” yang mendakwa Sultan Kelantan tidak bersetuju dan tidak mengesahkan sebarang pelantikan baru atau pemecatan daripada senarai asal anggota MPN yang dilantik pada 21 Mei 2009.



Dengan itu, baginda menitahkan melalui beliau supaya keahlian dalam MPN diubah kepada yang asal.



Surat ditandatangani sendiri Tengku Temenggong itu juga menyatakan, baginda mengarahkan penarikan balik beberapa darjah kebesaran bergelar “Datuk” kepada tujuh individu.



MPN yang ditubuhkan Sultan Kelantan dan dianggotai lapan individu yang diperkenankan baginda termasuk Tengku Temenggong.



Ia berperanan mengendalikan hal ehwal istana dan adat istiadat Kesultanan Melayu Kelantan termasuk pelantikan sultan.



Surat bertarikh 31 Dis itu dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias dan salinan kepada kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Readmore...

Desakan keluar Pakatan seperti usaha kudeta di Perak – PJ Perak

0 ulasan
 
KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain tidak menolak kemungkinan demontrasi 21 pemuda mendesak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat di Selangor merupakan suatu usaha menjatuhkan kerajaan negeri itu.

“Saya tak tolak kemungkinan ia suatu usaha mereka (Umno) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, seperti kudita yang mereka buat di Perak,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily tengahari tadi.

“Semacam di Perak, mereka (Umno) cuba adakan pelbagai helah dan demonstrasi, modul ini yang kita lihat di Perak sejak Umno tak perintah kerajaan negeri itu lagi,” katanya.

Selain menyamakan demontrasi tersebut dengan demonstrasi mengarak kepala lembu September lalu, beliau mengganggap demonstrasi tersebut dilakukan oleh segelintir yang kecewa melihat PAS bersama-sama Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak 8 Mac tahun lalu.

“Sama seperti demonstrasi kepala lembu berdarah sebelum ini, perhimpunan ini mungkin didalangi mereka yang kecewa apabila Umno (dan) BN gagal menguasai (kerajaan negeri) Selangor,” jelasnya.

Sekiranya anggapan tersebut benar, beliau menasihatkan kepemimpinan PAS negeri serta Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak cepat melatah dengan aksi-aksi pemuda terbabit.

“Saya lihat PAS dan Pakatan sepatutnya tidak mudah melatah dengan permainan mereka (Umno) ini yang sengaja mencari isu (dan) jalan (tektik) walaupun tidak bermoral asalkan boleh boleh rampas Selangor seperti mereka kudeta Perak,” jelasnya.

“Keduanya, PAS dan Pakatan Rakyat sepatutnya lebih usaha mengeratkan persefahaman, semacam yang dituntut dalam Konvensyen (Pakatan Rakyat) baru-baru ini,” tambahnya.

Semalam, lebih 21 pemuda melancarkan demonstrasi kerana mengganggap PKR dan DAP mengetepikan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat ketika mentadbir negeri itu.

Mereka yang diketuai Wan Hilman Abdul Halim dilaporkan mahu menyerah memorandum kepada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Mohd Hassan pagi tadi, namun gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya mengarahkan Badan Perhubungan PAS Selangor supaya menyiasat dalang di sebalik perhimpunan misteri tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menegaskan bahawa mereka yang terbabit sebenarnya tidak mewakili PAS negeri itu.
Readmore...

Bolasepak SEA: Malaysia ke perlawanan akhir, tewaskan Laos 3-1

0 ulasan
 
Malaysia berjaya menewaskan Laos dalam perlawanan separuh akhir kedua dengan menewaskan Laos 3 berbalas 1. Dalam perlawanan akhir nanti yang menunggu Malaysia adalah pasukan Vietnam, berjaya menewaskan Singapura 4 - 1 dalam perlawanan separuh akhir pertama yang diadakan sejam lebih awal.
Readmore...

Pengarak kepala lembu berfikiran kuno

0 ulasan
 
Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Meng petang tadi menganggap mereka yang terbabit memijak gambar beberapa pemimpin DAP hari ini bukan mewakili sensitiviti rakyat berbangsa Melayu di Malaysia.

Sebaliknya, beliau menganggap mereka yang terbabit masih berfikiran kuno era dinosor yang sudah tidak sesuai untuk hidup di zaman ini.

"Saya yakin mereka tidak mewakili orang Melayu...mereka masih berfikiran era dinosor," jelasnya.

Pendapat tersebut sebagai mengulas laporan berita sebuah laman web hari ini yang melaporkan 12 tertuduh dalam kes 'kepala lembu' memijak gambar pemimpin DAP sebaga protes pada parti tersebut.


Beliau yang juga Setiausaha DAP Perak mendakwa tindakan ekstrem tersebut demi membangkitkan semangat 'Ketuanan Melayu' tajaan Umno secara salah.

Mewakili DAP Perak, beliau juga menegaskan bahawa partinya tidak mempertikai hak-hak rakyat, termasuk kedudukan Melayu, bahasa Melayu dan Islam sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan.

"Saya hanya menentang kezaliman para pemimpin Umno atas sandiwara 'Ketuanan Melayu', seperti kes pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Syeksen 23 (Shah Alam)."

Pun begitu, beliau meminta pemimpin Umno menjelaskan kedudukan terminologi 'Ketuanan Rakyat' menurut Perlembagaan.

Ujarnya, 'Ketuanan Melayu' adalah propaganda para pemimpin Umno untuk terus menguasai minda rakyat, sama ada Melayu atau bukan Melayu.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran mendesak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib menjawab dua soalan berhubung 'Ketuanan Melayu'.

"Pertama, bagaimana boleh rakyat Malaysia menghayati konsep 1Malaysia (dan) 'Ketuanan Melayu' sedangkan konsep ini tidak memperlihatkan keadilan dan kesaksamaan dari segi bangsa," soalnya.

"Kedua, adakah konsep Ketuanan Melayu yang diperjuangkan Umno selari dengan impian bangsa Malaysia, (yang terdiri oleh) Melayu, Cina, India dan sebagainya."

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak menganggap konsep Ketuanan Melayu tersebut dicipta oleh Umno untuk meraih emosi rakyat berbangsa Melayu.

Pun begitu, beliau mendesak dua parti komponen BN yang lain menyatakan pendirian masing-masing berhubung konsep 'Ketuanan Melayu' yang diperjuangankan Umno.

"Ketuanan Melayu adalah konsep Umno Putra. Adakah MIC dan MCA pun beri sokongan," soal Kula.

"Rakyat nak tahu apakah pendirian mereka (parti-parti komponen BN) terhadap dasar 'Ketuanan Melayu' (yang diperjuangkan) Umno."

Konsep 'Ketuanan Malayu' menjadikan Umno BN sekali lagi dalam persimpangan sama ada mahu terus memerjuangkan semangat perkauman yang sempit, atau berlapang dada dengan konsep 1Malaysia yang liberal.

Readmore...

14 Tahun Korek Terowong Melalui Sebuah Gunung

0 ulasan
 


Selama 14 tahun telah diambil oleh seorang penduduk desa India menggunakan pemukul dan pahat untuk memahat sebuah terowong melalui gunung sehingga jiran-jirannya boleh mengunjungi padang berhampiran dan dia boleh meletakkan trak di depan rumahnya.

Ramchandra Das, 53, yang tinggal di kawasan timur negeri Bihar daerah Gaya, telah memahat terowong 10m panjang dan 4m lebar melalui rentang bukit dari desa Kewati. Das telah melakukan tugas berat itu selepas penduduk merasakan 7km perjalanan melewati gunung semakin sukar.

Ketika pihak berkuasa menolak untuk membantu untuk memotong waktu perjalanan, Das mulai memahat tanah di situ dalam arah bandar besar berdekatan, Atri. Pekerjaan menjadi lebih mendesak ketika Das menjadi orang pertama yang memiliki lori di desa dan tidak boleh memandu ke hadapan rumahnya.

“Saya tidak boleh meletakkan trak berdekatan rumah saya kerana gunung menghalang jalan,” katanya kepada Reuters. Das berkata, dia juga takut pencuri mencuri traknya. “Saya harus meninggalkan trak sebatu jauhnya, jadi saya memutuskan untuk melakukan sesuatu tentang itu,” kata Das melalui telefon.

Penduduk desa tempatan, yang sebelumnya harus melalui perjalanan di sekitar gunung, sekarang menggunakan terowong untuk pergi bekerja.

Das terinspirasi oleh seorang penduduk Bihari yang lain iaitu Dasharath Manjhi, yang memotong-120m panjang dan 10m lebar dan 8m laluan tinggi sehingga penduduk desa dapat mngunjungi hospital tempatan.


Manjhi seorang buruh itu mengambil masa selama 22 tahun, bermula selepas isterinya meninggal ketika ia tidak mampu untuk dibawa ke rumah sakit. Dia telah diberi penghargaan oleh kerajaan Delhi kerana kerjanya dan meninggal dua tahun lepas.


Readmore...

Pengedar cuba rasuah polis RM15,000 ditahan

0 ulasan
 

Tindakan berani seorang pengedar dadah yang ingin merasuah sepasukan empat anggota polis untuk melepaskan 'orang kanan' membawa padah apabila dia turut ditahan di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang di sini kelmarin.


Tangkapan pukul 5.15 pagi itu dilakukan selepas polis memasang perangkap apabila suspek menghubungi rakannya yang ditahan kerana memiliki dadah di stesen transit aliran ringan (LRT) Wangsa Maju lima jam sebelum itu.

Terkejut dengan berita tangkapan tersebut, suspek berusia 27 tahun itu kemudian meminta rakannya memberi telefon bimbitnya kepada anggota polis yang membuat tangkapan itu untuk merasuah mereka sebanyak RM15,000.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, pada mulanya rakan suspek berusia 28 tahun itu ditahan selepas polis menjumpai sebanyak 170 paket heroin seberat 408 gram bernilai RM18,000.



"Suspek berbuat demikian kerana begitu mengambil berat dengan nasib rakannya yang ditahan itu.



"Berdasarkan soal siasat, dia merupakan orang kanan kumpulan pengedar dadah tersebut yang telah enam bulan menjalankan aktiviti berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Readmore...

35 Terbunuh Dalam Serangan Ketika Solat Jumaat Di Pakistan

0 ulasan
 
RAWALPINDI: Penyerang nekad menyerbu sebuah masjid berhampiran ibu pejabat tentera Pakistan dan membunuh 35 orang ketika solat Jumaat dengan melepaskan tembakan rambang dan melempar bom tangan ke arah jemaah sebelum meletupkan diri mereka.

Serangan oleh sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata itu adalah terbaru dalam siri pertumpahan darah yang meragut lebih 400 nyawa di Pakistan sejak Oktober lalu.



Dua jam selepas serangan itu, beberapa tembakan masih kedengaran dalam kawasan yang dikawal ketat di bandaraya Rawalpindi yang terletak hanya beberapa kilometer dari ibu negara. Wartawan dilarang menghampiri kawasan kejadian.



Tiga helikopter kelihatan di udara ketika trak membawa pasukan komando dan ambulans berkejar ke kawasan yang dikawal askar bagi menghalang orang ramai dan kenderaan daripada menghampiri.



Seorang pegawai polis di tempat kejadian, Yasir Nawaz, berkata serangan itu, iaitu yang ketiga mensasarkan Rawalpindi dalam tempoh hampir dua bulan, bermula apabila beberapa lelaki bersenjata membolosi pusat pemeriksaan berhampiran masjid yang popular di kalangan pegawai tentera.



Jurucakap tentera, Mej Jen Athar Abbas, berkata dua daripada penyerang terbabit berjaya memasuki masjid dan melepaskan tembakan rambang serta melempar bom tangan ke arah jemaah.



Beliau berkata, terdapat penyerang lain tetapi tidak memberi butiran lanjut mengenai mereka.



Pegawai perisikan pula berkata, 35 orang terbunuh dan mayat mereka dibawa ke dua hospital berhampiran manakala 70 yang lain cedera.

Readmore...

Pencuri kabel mati kena kejutan elektrik

1 ulasan
 
Mencuri tu satu hal. Berani pulak nak mencuri kabel di pencawang yang berkuasa tinggi. Nasib tak baik mati terkangkanglah kena kejutan arus elektrik.

[DSCN0537.JPG]
[DSCN0538.JPG]
[DSCN0550.JPG]
Readmore...