Tindakan berani seorang pengedar dadah yang ingin merasuah sepasukan empat anggota polis untuk melepaskan 'orang kanan' membawa padah apabila dia turut ditahan di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang di sini kelmarin.
Tangkapan pukul 5.15 pagi itu dilakukan selepas polis memasang perangkap apabila suspek menghubungi rakannya yang ditahan kerana memiliki dadah di stesen transit aliran ringan (LRT) Wangsa Maju lima jam sebelum itu.
Terkejut dengan berita tangkapan tersebut, suspek berusia 27 tahun itu kemudian meminta rakannya memberi telefon bimbitnya kepada anggota polis yang membuat tangkapan itu untuk merasuah mereka sebanyak RM15,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, pada mulanya rakan suspek berusia 28 tahun itu ditahan selepas polis menjumpai sebanyak 170 paket heroin seberat 408 gram bernilai RM18,000.
"Suspek berbuat demikian kerana begitu mengambil berat dengan nasib rakannya yang ditahan itu.
"Berdasarkan soal siasat, dia merupakan orang kanan kumpulan pengedar dadah tersebut yang telah enam bulan menjalankan aktiviti berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.