KUALA KANGSAR - Hajat seorang ibu untuk mengubati anak daranya supaya melupakan bekas kekasihnya dengan seorang bomoh berakhir dengan anaknya dijadi mangsa pemuas seks bomoh terbabit.
Kejadian tersebut didakwa bermula pada 3 Ogos lalu apabila mangsa yang berusia 21 tahun dibawa ibunya ke rumah 'Pak Haji' di sebuah kampung di Kota Lama Kiri di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, setibanya di rumah Pak Haji pada pukul 7.30 malam, wanita itu disuruh meninggalkan anak gadisnya selama tiga hari tiga malam kononnya bagi melakukan proses rawatan melupakan bekas kekasihnya.
Bagaimanapun, menurut beliau, pada pukul 12.30 malam hari pertama, gadis itu mendakwa Pak Haji telah memaksanya mengadakan hubungan kelamin.
"Pada mulanya mangsa sangsi dan menolak, namun Pak Haji memberi alasan, hubungan kelamin harus dilakukan kononnya untuk mengeluarkan air mani mangsa yang dikatakan 'ubat mujarab' bagi mangsa melupakan bekas kekasihnya," kata beliau ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, dalam keadaan terpaksa mangsa merelakan dirinya dinodai dan perlakuan sumbang 'Pak Haji' itu berulang pada malam ketiga dan keempat.
"Sebelum dibenarkan pulang, mangsa pada pagi 6 Ogos diminta mandi dengan air limau kononnya sebagai upacara terakhir menamatkan sesi perubatan," kata beliau.
Abdul Gaffar memberitahu, sebaik pulang ke rumah, mangsa merasai dirinya tertipu dan menceritakan perkara itu kepada ibunya.
Katanya, gadis yang tidak bekerja itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Kangsar di sini.
Jelas beliau, polis telah menahan suspek berumur 62 tahun pada 7 Ogos lalu dan dia kini direman sehingga Jumaat ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan menipu.
Kosmo! difahamkan, ketika kejadian dua anak suspek masing-masing berusia 23 dan lapan tahun berada di rumah tetapi isterinya berada di Kuala Lumpur.
n/k..: Percaya sangat dengan bomoh, boleh pulak tinggalkan anak pada orang yang tak ada kaitan persaudaraan. Yang jadi mangsanya sianak, menjadi pemuas nafsu 'Pak Haji' diatas kejahilan ibubapanya.