Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan kenyataan Barisan Nasional yang mendakwa kerajaan negeri mempolitikkan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock sebagai kebudak-budakan.
Menurutnya, kematian adalah satu perkara yang serius dan bukan permainan dan keadilan yang dituntut bukan untuk mengaburi mata rakyat terhadap penyiasatan tujuh Adun pakatan rakyat.
“Kenyataan itu adalah kebudak-budakkan kerana bagi Pakatan Rakyat, kematian adalah suatu perkara yang serius dan bukan untuk dimain-mainkan. Saya tak tahu bagaimana ia boleh melibatkan politik.
“Jika itu pandangan UMNO dan Barisan Nasional, tapi bukan kami, kami akan memperjuangkan keadilan atas kematian Teoh dan berharap semua rakyat juga bersama-sama kami,” katanya.
Tan Sri Khalid berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan SUK, kelmarin.
Beliau berkata, rakyat sendiri mendesak kerajaan negeri menuntut keadilan di atas kematian Teoh, dan Pakatan Rakyat akan memastikan kematian Teoh tidak sia-sia dan tiada konspirasi pihak tertentu.
Teoh ditemui mati di koridor tingkat 5, dipercayai jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat 14, kira-kira jam 1.30 petang, Khamis lalu.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu menyifatkan SPRM tidak adil dalam menjalankan penyiasatan mereka.
Ini kerana katanya, pada Mac tahun lalu, semua Adun Barisan Nasional telah menghabiskan peruntukan mereka hanya dalam masa dua bulan sahaja tanpa di siasat oleh SPRM.
Namun kini, beliau berkata, Pakatan Rakyat disiasat tanpa alasan yang spesifik.
“MACC tak adil, tak neutral kerana lepas 2008, kita telah membangkitkan bahawa semua adun dari Barisan Nasional, mereka habiskan peruntukan dalam masa dua bulan, sampai hari ini kita disiasat, tak ada aduan yang spesifik,” katanya. -selangorkini
Kali ini giliran 'scammer' pula kena tipu
24 minit yang lalu